Walaupun menganggap ia satu tugas berat, pengendali skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, tetap percaya akan dapat membentuk sebuah pasukan mantap bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Asyraaf, 48, berkata persiapan pasukan kini lebih baik kerana tempoh latihan yang lebih panjang, sekali gus memberi beliau masa untuk membentuk skuad yang mantap.

"Ia bukan tugas mudah, namun saya percaya akan dapat membentuk pasukan yang lebih baik.

"Kami sudah memulakan fasa pertama latihan pusat sejak 15 November lalu hingga 19 Disember ini dan selepas itu pemain akan mengikuti kem pusat kontinjen negara di ibu negara.

"Fasa kedua latihan pusat juga akan bersambung pada Januari, disusuli beberapa fasa lagi termasuk mengadakan perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Asyraaf berkata persiapan setakat ini berjalan lancar dengan latihan pada peringkat awal lebih kepada pemantapan kecergasan selain kemahiran dan teknikal.

"Secara keseluruhannya, pemain dapat menerima apa yang diajar tetapi ia bukan bermakna 25 pemain tersenarai pada fasa pertama latihan pusat ini telah terjamin tempat mereka," katanya.

Tambah beliau, pemain daripada fasa pertama latihan pusat itu akan ditapis bagi membolehkan dia mencuba beberapa pemain baharu yang akan dikenal pasti dari Liga Bola Sepak Rakyat dan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun depan.

Seramai 16 daripada 25 pemain yang dipanggil menjalani latihan fasa pertama ketika ini adalah daripada skuad Piala AFF 2016, iaitu: Yasrikalaura Tumas; Usliza Usman; Haindee Mosroh; Asma Junaidi; Shereilynn Elly Pius; Jaciah Jumilis; Dadree Rofinus; Masturah Majid; Eslisah Esar; Malini Nordin; Angela Kais; Nur Haniza Saarani; Roszaini Bakar; Nurul Azurin Mazlan; Nurul Azurin Mazlan; Nur Athirah Farhanah Zairi dan Marcella Angela Parais.

Sementara itu, sembilan muka baru yang dipanggil ialah Sanizah Dualin; Fedalliah Claritta Jaimin; Siti Rohani Sapthu; Puteri Nor Alisa Wilkinson; Dhiya Fatihah Ahmad Razali; Nor Atikah Abdul Wahab; Anis Aisyah Asiati; Nor Athirah Mamat dan Rosdianah Adeline Jerus.

Kali terakhir pasukan bola sepak negara memenangi pingat dalam Sukan SEA ialah pada 1995 di Chiang Mai, Thailand, iaitu pingat perak dan pada temasya sama di Kuala Lumpur tahun depan, Malaysia mensasarkan pingat gangsa.