Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bakal memangku cabaran yang berat dalam usaha memastikan beberapa permasalahan dalam arena sukan tempatan dapat diselesaikan.

Reezal Merican secara rasminya mengisi portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan dan akan dibantu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal selepas majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia kabinet di Istana Melawati, Putrajaya, hari ini.

Beberapa polisi dalam arena sukan negara akan dikaji dan kemungkinan beberapa pendekatan lama akan kekal serta ditambah baik.

Antara tumpuannya adalah memastikan kesinambungan program Road To Tokyo (RTT) serta hala tuju Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang tetap akan dilangsungkan Jun depan di sebalik penularan wabak COVID-19.

"Alhamdulillah, sudah sampai ke titik noktah dan kami mengucapkan tahniah kepada beliau. Jadi, MSN bukan sahaja Menteri baru, malah akan mendapat pengerusi yang baru. Jadi, sudah tentu kami menantikan kepimpinannya untuk memacu kami dalam membangunkan sukan negara," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kami faham isu dalam sukan. Tiada guna bekerja secara individu, jadi perlu bekerjasama untuk memastikan Sukma lebih relevan. Begitu juga dengan Sukan SEA serta perkembangan sukan dalam negara," tambah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib.