Selepas persembahan yang cukup cemerlang tahun ini, Terengganu Cycling Team (TSG) mengidam untuk menduduki kelompok tiga pasukan terbaik Asia menjelang musim 2019.

Tahun 2018 pastinya menjadi antara detik paling diingati buat TSG susulan kejayaan pelumbanya, Artem Ovechkin, meraih jersi kuning sebagai juara keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Selain itu, mereka turut meraih beberapa lagi kedudukan podium dalam perlumbaan lain, antaranya Jelajah China.

Pencapaian itu menyaksikan mereka menamatkan kempen 2018 di kedudukan keempat keseluruhan pasukan berstatus benua dalam ranking Jelajah Asia-UCI.

Lantaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Farhan Abd Wahab, percaya prestasi itu dapat ditingkatkan lagi untuk musim 2019.

"Kami menyasarkan kelompok tiga pasukan terbaik Asia bagi tahun depan," katanya.

Sementara itu, Farhan turut mengesahkan TSG akan diperkuatkan semula oleh pelumba Australia, Drew Morey, selain mengekalkan khidmat jurulatih, Jeremy Hunt.

Morey antara yang membantu TSG muncul juara keseluruhan LTdL 2018 sebelum berhijrah ke pasukan Michelton Bike-Exchange, Jun lalu.

Hampir 100 peratus pelumba tempatan dikekalkan, diterajui gandingan adik-beradik Zamri dan Harrif Salleh.

"Kami masih lagi membariskan pelumba-pelumba yang sama dan Morey kembali memperkuatkan TSG," tambahnya.