Pasukan nombor satu Asia, Terengganu Inc Cycling Team (TSG), kembali menjadi tumpuan pelumba handalan serata dunia bagi saingan musim 2020.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, sebanyak 63 permohonan diterima TSG daripada pelumba luar negara yang ingin menyertai pasukan itu.

"Kami akan teliti permohonan itu dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Buat masa sekarang, TSG masih kekalkan tujuh pelumba luar negara dan kami sedang menilai prestasi mereka.

"Jika ada keperluan dan prestasi mereka menurun, kami akan lihat semula 63 permohonan itu tadi," katanya selepas Majlis Meraikan Kejayaan TSG di Kuala Terengganu, semalam.

Antara pelumba luar negara TSG ketika ini adalah Artem Ovechkin (Russia), Metkel Ayob (Eritrea), Roucef Yeguigui (Algeria), Maral Erdene (Mongolia), Goh Choon Huat (Singapura), Drew Morey (Australia) dan Cristofer Jurado (Panama).

Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Hariff Salleh, Zamri Salleh, Zuladri Amin Zulkurnain, Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Irwandie Lakasek, Nor Umardi Rosdi, Afiq Huznie Othman serta Shahrul Mat Amin pula mengisi slot pelumba tempatan TSG.

Bulan lalu, TSG mengulangi pencapaian 2012 selepas menduduki ranking teratas Asia serta ke-28 dunia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan memungut 2,658 mata selepas menamatkan musim 2020 dengan siri Jelajah Fuzhou di China minggu lalu.