TSG Fellowship Ride bakal jadi acara tahunan

Oleh Tengku Danish Bahri 29 Oktober 2017 4
TSG Fellowship Ride bakal jadi acara tahunan
Seramai 1,300 peserta dari seluruh negara memeriahkan TSG Fellowship Ride anjuran Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Kayuhan santai yang diadakan bersempena TSG Festival selama tiga hari bermula Khamis lalu itu juga mendapat penyertaan peserta dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, program itu memberi peluang peminat setia sukan berbasikal untuk melalui sendiri pengalaman perlumbaan sebenar.

Namun, kayuhan sejauh 120km itu, ujarnya, bukan mencari pemenang, sebaliknya lebih kepada mendekatkan peminat dengan TSG serta menyemarakkan sektor pelancongan sukan di negeri itu.

“Melalui kayuhan ini, peserta-peserta memahami penat-lelah pelumba sebenar yang bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti dikecapi pelumba TSG.

“Bukan itu sahaja, pelbagai lokasi menarik dapat mereka lalui sepanjang perlumbaan dan TSG Festival ini akan dijadikan acara tahunan yang lebih meriah, awal tahun depan,” kata Rozi.

Dengan jumlah hadiah keseluruhan lebih RM130,000, Rozi turut memuji inisiatif TSG yang julung kali mengadakan program seumpama itu selain kejayaan menarik tajaan syarikat terkemuka.

Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan dijayakan, antaranya pertandingan memancing, basikal kreatif dan zumba.

Paling mendapat perhatian ialah hadiah utama cabutan bertuah sebuah kereta Perodua Axia yang dimenangi Helmi Erwan Shah Mustafa, 31, dari Kertih.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen