Judd Trump muncul pemain snuker pertama yang memenangi enam gelaran semusim apabila ditabalkan sebagai juara dunia ketika menawan Terbuka Gibraltar di gelanggang tertutup semalam.

Sebelum ini, lima kejuaraan semusim pernah dilakar Ronnie O'Sullivan, Stephen Hendry, Ding Junhui dan Mark Selby, tetapi Trump selangkah ke depan dengan kejayaan terbarunya itu.


Kemenangan 4-3 ke atas pemain Inggeris, Kyren Wilson, membolehkannya membawa pulang cek bernilai £50,000 (RM264,767) dan Trump meraih bonus sebanyak £150,000 (RM794,312) kerana menduduki tangga teratas kutipan wang kemenangan dalam siri kejohanan Eropah.

Pemain berusia 30 tahun itu mencatat 125, 144 dan 123 mata dalam kemenangannya ke atas Wilson untuk mencipta sejarah berkenaan tanpa disaksikan penonton ekoran kebimbangan mengenai penularan wabak koronavirus.

Pemain nombor satu dunia itu menghasilkan prestasi memukau sepanjang musim 2019-20 sebelum mengesahkan gelaran Terbuka Gibraltar berkenaan bagi menyusuli kejayaannya dalam Kejohanan Antarabangsa, Terbuka Dunia, Terbuka Ireland Utara, Kejohanan Jerman dan Kejohanan Pemain-Pemain.