Jurulatih skuad ragbi wanita negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, terpaksa merombak hampir keseluruhan pemainnya menjelang Kejohanan Trofi Ragbi Asia 7s Wanita di Brunei, Sabtu ini, apabila kebanyakan muka lama mempunyai komitmen lain.

Hampir keseluruhan pemain yang membarisi skuad Malaysia dalam Sukan SEA 2017 yang disenaraikan, berdepan masalah sama ada terikat dengan pengajian atau tidak mendapat pelepasan majikan.

Hanya seorang yang masih tersenarai, iaitu pemain posisi serba boleh, Rozliana Mohd Ridwan, yang terus diangkat selaku ketua pasukan.

Tiada pilihan lain buat Nik Safuan apabila menggunakan tonggak muda untuk membentuk senarai akhir 12 pemain dan rata-rata daripada mereka dipilih melalui Sukan Malaysia (Sukma) Perak tempoh hari.

"Pemain yang ada sebelum ini tidak dapat memberikan komitmen atas sebab-sebab seperti kerja dan belajar.

"Oleh itu, kami mengambil pemain daripada kelab dan Sukma. Ini juga merupakan program pembangunan untuk skuad ragbi wanita Malaysia," ujar Nik Safuan.

Menurut Rozliana pula: "Saya harap apabila diberi peluang seperti ini, setiap pemain menunjukkan prestasi cemerlang untuk diri sendiri dan negara."

Trofi Ragbi Asia 7s wanita 2018 bakal menjadi kejohanan pertama untuk barisan muda negara.

Malaysia diundi sekumpulan dengan Indonesia, Guam, Laos dan tuan rumah, Brunei.

"Kami harap dapat sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir," kata Nik Safuan.