Walaupun masih kabur sama ada akan berlangsung atau tidak, atlet triatlon veteran Sabah, Yatim Zainal Abidin, masih berharap akan dapat bersaing dalam kejohanan Triatlon Kelas Dunia di Slovakia, 31 Mei depan.

Atlet berusia 44 tahun itu layak ke kejohanan berkenaan selepas menamatkan saingan di tempat keempat kategori 40-44 tahun dalam Cabaran Triatlon Iskandar Puteri di Johor pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, walaupun layak ke Slovakia, situasi Covid-19 yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia menjejaskan persiapannya selain belum pasti sama ada dapat pergi menyertai ke kejohanan itu atau tidak.

"Saya berharap masalah Covid-19 ini akan cepat selesai dan dapat pergi ke Slovakia untuk bersaing," katanya.

Yatim berkata setakat semalam, pihak penganjur menyatakan jadual asal kejohanan itu masih kekal, namun pemantauan akan diteruskan dan jadual mungkin diubah sekiranya perlu.

Sementara itu, Yatim turut memberitahu dia sepatutnya ke Filipina bulan ini untuk bertanding dalam kejohanan Alveo Ironman 70.3 di Davao, namun ia ditunda ke 10 Mei depan.

"Kejohanan di Filipina itu sebenarnya salah satu persiapan saya untuk bersaing di Slovakia tetapi memandangkan ia ditunda, saya masih belum pasti sama ada akan pergi atau tidak (ke Filipina)."

Ketika ditanya mengenai latihannya, Yatim berkata ia masih diteruskan, namun tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

"Persiapan saya memang terjejas tetapi saya akan lakukan yang terbaik untuk kekal cergas.

"Saya hanya berlatih di sekitar kawasan rumah dan saya juga menggunakan 'indoor bike'.

"Bagaimanapun untuk latihan renang, ia tidak dapat dilakukan kerana semua kolam renang kini ditutup," katanya.