Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, kembali ke prestasi terbaik apabila merangkul pingat gangsa dalam siri ketiga Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman.

Azizulhasni meraih gangsa menerusi acara akhir keirin yang berlangsung di Velodrom Berlin semalam.

Matthijs Buchli yang menggantikan Azizulhasni sebagai juara dunia baru ketika Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2018 di Apeldorn, Belanda awal tahun ini muncul juara perlumbaan.

Azizulhasni memastikan tempat di podium selepas menamatkan kayuhan di belakang juara dunia pecut 2017, Matthew Glaetzer dari Australia yang meraih perak.