Gregor Townsend berasakan kemenangan pertama di Paris sejak 1999 amat bersesuaian untuk merangkumkan bahawa musim ini merupakan "musim terbaik" buat Scotland di mana mereka turut menggagalkan Perancis daripada bergelar juara Kejohanan Ragbi Enam Negara menerusi satu aksi dramatik awal pagi tadi.

Les Bleus perlu memastikan kemenangan besar dengan sekurang-kurangnya berkelebihan 21 mata seandainya mahu bergelar juara dalam perlawanan terakhir itu di Stade de France.

Bagaimanapun, Scotland merupakan pasukan yang lebih meraikan cuaca hujan di Paris itu dan Wales sah bergelar juara selepas try lewat permainan Duhan van der Merwe memastikan pasukannya memenangi perlawanan itu 27-23.

David Cherry turut mencatatkan namanya dalam senarai penyumbang mata dalam babak kedua sebelum Finn Russel dilayangkan kad merah pada sembilan minit terakhir selepas menahan leher Brice Dulin dengan lengannya -- biarpun dia telah menyumbangkan 10 mata sebelum insiden itu.

Scotland memulakan kempen itu dengan kemenangan pertama ke atas England di Twickenham sejak 1983 dan menamatkan penantian panjang untuk menewaskan Perancis di laman lawan itu.

Skuad kendalian Townsend menamatkan kempen itu di tangga keempat tetapi jurulatih Scotland berkenaan percaya pasukannya telah menempa laluan yang hebat musim ini.

Dia berkata kepada BBC One: "Saya amat berbangga dengan pasukan saya. Mereka datang ke sini dengan beberapa kekurangan dan bukan dengan skuad penuh, kecederaan melibatkan seorang pemain utama kami (Matt Ferguson), kad kuning (Stuart Hogg), kad merah, kami perlu bangkit menewaskan pasukan yang amat bagus tetapi kami telah menunjukkan keinginan, usaha, kesepaduan dan kemahiran yang hebat untuk menang.

"Ia penamat hebat dalam musim yang cerah buat kami. Biarpun kami menamatkannya di tempat keempat, ia seperti salah satu musim terhebat kami dengan kemenangan yang kami raih tahun ini, terutama prestasi yang kami pamerkan malam ini.

"Ia kini sudah dua tahun kami bersaing secara kompetitif dalam setiap perlawanan. Kami telah banyak berkembang tahun ini, banyak berkembang dalam kempen ini dan kami perlu terus berkembang sepanjang beberapa tahun ini," katanya.