Pelumba Sapura Cycling Team, Muhammad Zawawi Azman, mengotakan janji untuk meneruskan momentum dalam Jelajah Malaysia 2017 awal bulan lalu apabila membolot tiga jersi utama Tour de Selangor, sekaligus meletakkannya sebagai antara pencabar yang perlu diberi perhatian dalam saingan kali ini.

Antara faktor yang menjurus kepada kejayaan Zawawi menakluki peringkat pertama Tour de Selangor 2017 dari Petaling Jaya ke Kuala Selangor adalah keberaniannya melakukan pemecahan daripada peloton selepas zon pecutan pertama di Kota Damansara.

Strategi itu berjaya membantunya untuk mengutip mata, sekaligus menjadi pendahulu dalam dua zon pendakian di Kuang dan Batu Arang, serta tiga zon pecut di Kota Damansara, Bukit Rahman Putra dan Kampung Raja Musa.

Jersi biru raja pecut, jersi merah raja bukit serta jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan menyemarakkan lagi semangatnya untuk mempamer aksi terbaik dengan berbaki empat peringkat lagi.

"Saya akan pertahankan jersi kuning ini untuk meraih mata keseluruhan bagi menarik perhatian pasukan luar. Ia untuk masa depan saya," kata Zawawi.

Sementara itu, pelumba muda terbaik, Muhd Nur Aiman Mohd Zarif daripada pasukan TSG Terengganu berjaya mengangkat kembali namanya selepas setahun menyepi daripada arena berbasikal.

Kali terakhir Aiman berjaya memenangi jersi adalah ketika peringkat pertama Jelajah Thailand 2016 apabila berjaya meraih jersi biru sebagai pelumba terbaik ASEAN.

Untuk Tour de Selangor 2017, dia menghabiskan saingan dengan catatan 2 jam 42:09 saat untuk mengetepikan pencabar dari pasukan Selangor, Azli Najmi Zulkefle, dan pelumba Vietnam, Tran Nguyen Duy Nhan, dalam perebutan jersi putih pelumba muda terbaik.

"Sukar untuk mendapatkan jersi ini. Saya berusaha keras untuk membuat pemecahan. Sudah lama saya menyepi, hari ini saya lakukannya dengan baik," kata Aiman.