Pelumba pasukan TSG Terengganu, Mohd Zamri Salleh, dinobatkan sebagai juara peringkat kelima Tour de Selangor manakala pelumba Sapura Cycling, Muhammad Zawawi Azman, unggul selaku juara keseluruhan.

Laluan peringkat kelima Tour de Selangor 2017 meliputi jarak sejauh 112 km mengelilingi sekitar bandar raya Shah Alam dengan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.

Zon pecutan pertama di Klang Sentral diungguli pelumba Thailand, Aguwit Phongsada.

Seterusnya, memasuki zon pendakian di Puncak Perdana, giliran Thanh Tran Dien dari Vietnam pula melakukan kayuhan mantap untuk menaklukinya.

Dua lagi zon pecutan dalam bandar raya Shah Alam menyaksikan persaingan sengit, dengan pelumba Jepun dari pasukan Aisan Racing Team, Tomohiro Hayakawa, mendahului peloton, dan kemudian giliran pelumba Armed Forces CIMB, Mohd Hafiz Abd Hamid, mendahului untuk zon pecutan ketiga.

Selepas 2 jam 30:01 saat, pelumba TSG Terengganu, Mohd Zamri, berjaya menamatkan kemarau podium buat pasukannya apabila menjuarai peringkat kelima Tour de Selangor 2017.

Tempat kedua dan ketiga milik pelumba pasukan Aisan Cycling, Shiki Kuroeda, dan Kota Sumiyoshi.

“Akhirnya kami dapat mencari kemenangan untuk pasukan TSG. Setiap pelumba telah berusaha untuk memastikan kemenangan peringkat ini,” kata Zamri.

“Saya harus mengakui pelumba Malaysia itu (Zamri Salleh) lebih laju, terutama di bahagian selekoh, namun saya tetap gembira kerana saya berjaya menaiki podium untuk hari terakhir,” kata Shiki.