Tour de Selangor: TSG belum temui rentak

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 346
Tour de Selangor: TSG belum temui rentak
Pasukan pilihan, TSG Terengganu, masih lagi belum menemui rentak dalam Tour de Selangor 2017, dengan perlumbaan berbaki hanya tiga peringkat lagi.

Tamat peringkat kedua saingan Tour de Selangor dari Shah Alam ke Dengkil, barisan pelumba TSG Terengganu masih belum mendapat keputusan podium.

Kedudukan terbaik pasukan itu diraih oleh Mohd Zulhilmie Afifahmad Zambri yang menamatkan cabaran di kedudukan kelima dalam peringkat ini.

Namun, TSG masih boleh berbangga dengan prestasi Muhd Nur Aiman Mohd Zarif yang berjaya mempertahankan status pelumba muda terbaik di samping dalam kelompok hadapan bagi mengejar pendahulu keseluruhan, berada di kelima, hanya dibezakan 0.00.38 saat dengan pendahulu, Muhammad Zawawi Azman dari pasukan Sapura Cycling.

“Saya berharap akan memberikan yang terbaik untuk memperbaiki persembahan TSG dengan menamatkan saingan di kedudukan podium,” kata Aiman.

Bagaimanapun, semua itu bakal berubah apabila memasuki peringkat ketiga dengan laluan dari Shah Alam ke Pandan Indah sejauh 110 km, dengan zon pendakian di Bukit Hantu menjadi sasaran barisan pelumba TSG Terengganu untuk menakluknya.

TSG Terengganu bakal mempertaruhkan kudrat dua pakar mendaki, Anuar Manan dan Goh Choon Huat, bagi memberikan tentangan sengit kepada pemegang jersi merah raja bukit, iaitu Zawawi.

“Kami akan cuba mempertingkatkan peluang untuk Aiman memperbaiki kedudukannya kerana dia dilihat sebagai peluang terbaik buat TSG dalam saingan kali ini,” kata Anuar.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen