Tour de Selangor: Peluang terbuka buat semua pasukan

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 71
Tour de Selangor: Peluang terbuka buat semua pasukan
"Semua pasukan mempunyai peluang seimbang," demikian pandangan Pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahid, terhadap perlumbaan Tour de Selangor, bermula esok hingga Sabtu ini.

Selepas mempamer persembahan  cemerlang dalam Jelajah Malaysia 2017, dari 3 hingga 7 Oktober lalu, TSC semestinya menjadi tumpuan utama bagi Tour de Selangor yang julung kali diadakan.

Malah, penyertaan empat pasukan bertaraf benua dalam saingan ini memberikan lebih peluang buat TSC untuk menyerlah.

Pasukan itu akan membariskan tiga pelumba tempatan yang diketuai Zawawi Azman di samping tiga khidmat pelumba luar negara.

Sayuti berkata dengan ketiadaan peringkat pendakian yang lazimnya menjadi tumpuan, semua pasukan berpotensi untuk meraih kemenangan.

"Tidak seperti Jelajah Malaysia kerana perlumbaan itu kami ada pendaki.

"Jadi, dalam Tour de Selangor, ia terbuka kepada semua pasukan kerana kawasan berbukit paling sukar pun hanya di Batu 14 dan Ulu Yam. Peluang memang sama rata," katanya.

Tour de Selangor turut menjadi medan persiapan buat TSC untuk mengekalkan tahap konsisten mereka bagi menghadapi dua lagi baki pertandingan tahun ini, iaitu Tour of Malaysia dan Tour of Singkarak bulan depan.

"Seperti biasa, kami memberitahu pelumba kami bahawa kami perlu hormati pihak lawan. Maknanya, jangan terlalu yakin, disiplin perlu jaga dan banyak berehat kerana perkara ini penting untuk mereka. 

"Jadi, anda seorang juara tidak semestinya anda juara minggu depan kalau tidak jaga perkara seperti ini," katanya.

Tour de Selangor akan melalui lima peringkat dari Petaling Jaya ke Shah Alam sejauh 558.4 kilometer.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen