Pelumba basikal kebangsaan berpeluang meraih mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi kejohanan Tour de Selangor 2019 yang akan berlangsung bulan depan.

Ini merupakan edisi kedua selepas penganjuran kali pertama pada 2017.

Sebanyak lima peringkat perlumbaan dari 16 hingga 22 Disember itu akan menampilkan 20 pasukan benua Asia, bermula di Pulau Indah dan berakhir di Shah Alam yang merangkumi jarak sejauh 690.4 kilometer.

Beberapa kelainan yang dibawakan dalam edisi kali ini termasuk cabaran tinggi yang melibatkan 11 zon pendakian dan 11 zon pecutan.

"Pada 2017, semua permulaan berlangsung di Shah Alam tetapi kali ini akan dimulakan dari daerah sekitar negeri Selangor," kata Pengarah Tour de Selangor, Noradiazhar Sulaiman.

Turut bakal mengerah kudrat dalam kejohanan itu termasuk Zawawi Azman yang mewakili Team Sapura Cycling (TSC) selain tonggak Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan.

"Ini adalah platform jelajah yang boleh mereka sertai kerana ia perlumbaan bertaraf 2.2 dan menawarkan mata ke Olimpik," tambah Noradiazhar.