Tour de Selangor: Kejayaan paling bermakna buat Zawawi

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2017 183
Tour de Selangor: Kejayaan paling bermakna buat Zawawi
Sejarah dicipta pelumba tempatan, Muhammad Zawawi Azman dari pasukan Sapura Cycling, apabila bukan sahaja membolot jersi kuning juara keseluruhan Tour de Selangor 2017, malah berjaya mempertahankannya sejak hari pertama saingan yang bermula pada Selasa lalu.

Zawawi bukan sahaja bergelar juara individu keseluruhan Tour de Selangor, malah berjaya mengungguli jersi merah raja bukit sambil menyifatkan ini adalah kejayaan paling manis dalam kariernya bergelar pelumba basikal profesional.

Ia sekaligus mengetepikan persembahan buruk ketika beraksi bersama skuad negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila sekadar menamatkan tempat ketujuh dalam acara berbasikal trek omnium lelaki. 

Kekalahan itu membuatkannya begitu kecewa sehingga berkelana sebulan di Indonesia dan selepas itu dia memperbaiki prestasinya dengan muncul pelumba terbaik tempatan dalam Jelajah Malaysia 2017.

“Ketika Sukan SEA, saya sangat kecewa sehingga tidak boleh melupakan kekalahan tersebut. Selepas kembali bersama Sapura, saya memberikan fokus dalam prestasi dan berjaya mencipta kejayaan,” kata Zawawi.

Lebih manis, pasukannya, Sapura Cycling juga dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan, mengatasi pasukan Jepun, Aisan Racing.

Fokus utama selepas ini sudah semestinya Tour of Malaysia yang dijangka akan berlangsung 7 November depan. 

“Kami berharap Sapura dapat meneruskan momentum ini dalam kejohanan akan datang. Kami akan cuba mengulangi kejayaan ini dan memberikan fokus untuk saingan pada tahun depan,” kata pengurus pasukan Sapura Cycling, Mohd Sayuti Zahit.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen