Tour de Selangor jadi tumpuan baru pelumba terbaik dunia

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 269
Tour de Selangor jadi tumpuan baru pelumba terbaik dunia

Penganjur Kejohanan Berbasikal Tour de Selangor mengharapkan kemeriahan yang disaksikan dalam Jelajah Malaysia baru-baru ini dapat diteruskan untuk perlumbaan dari 17 hingga 21 Oktober ini.

Perlumbaan yang julung kali diadakan ini merupakan cetusan idea daripada Persatuan Lumba Basikal Selangor di samping mendapat sokongan Kerajaan Selangor.

Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi penganjuran itu dengan 15 pasukan sudah mengesahkan penyertaan.

Tumpuan utama sudah pasti persaingan kelab tempatan, Team Sapura Cycling (TSC), yang menyerlah dalam Jelajah Malaysia, selain Terengganu Cycling Team (TSG).

Secara keseluruhan, lima peringkat dipertandingkan membabitkan jarak sejauh 558.4 kilometer.

"Kami menganjurkan kejohanan ini sesuai dengan tahapnya dan kami telah mendaftarkan kejohanan ini dengan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa).

"Ia kejohanan yang mampu memberikan mata kepada pelumba. Justeru, kami menerima penyertaan daripada pelumba-pelumba yang agak bermutu dan baik, dan saya rasa kualitinya sama seperti Jelajah Malaysia," kata Pengerusi Tour de Selangor, Amirudin Shari. 

Tour de Selangor mendapat status perlumbaan 2.2 oleh UCI dan ia merupakan sebahagian daripada kalendar Jelajah Asia pada tahun ini.

Ia diuruskan oleh Life Profit yang turut bertanggungjawab mengendalikan perlumbaan Jelajah Malaysia dari 3 hingga 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusannya, Azri Che Noh, memberi jaminan hadiah kemenangan daripada saingan berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh 90 hari seperti yang ditetapkan.

"Bayaran baki wang kemenangan kepada pelumba, memang PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) meletakkan tempoh selama 90 hari.

"Jadi dalam tempoh itu kami akan selesaikan, Insya-Allah dari 30 hingga 60 hari kami akan selesaikan," katanya.

Gambar: Selangor Kini

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen