Pelumba PDRM, Mohd Elmi Jumari, bukan sahaja muncul juara peringkat keempat Tour de Selangor 2017, namun turut mencipta kejutan dengan merampas jersi biru raja pecut daripada pelumba TSC Sapura Cycling, Muhammad Zawawi Azman.

Ia merupakan kejayaan keduanya selepas menjuarai peringkat kedua saingan Tour de Selangor 2017 dari Shah Alam ke Dengkil, kelmarin.

Pegawai polis berpangkat lans koperal itu berjaya menamatkan peringkat keempat dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu dengan catatan 2 jam 4 minit 5 saat.

Lebih manis, Elmi berjaya memintas kedudukan dalam perebutan jersi biru raja pecut apabila mengutip 35 mata, lima mata mengatasi Zawawi yang berada di tangga kedua.

"Bagi saya, ia adalah satu bonus. Sasaran awal saya sebelum peringkat kedua hanya untuk mendapatkan podium.

"Saya sendiri tidak menyangka dapat meraih jersi pecut," kata Elmi.

Biarpun terlepas untuk mempertahankan jersi biru, Zawawi tidak gusar kerana keutamaannya kini adalah mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan dan kedudukan pasukan terbaik keseluruhan.

Dia menjadi pemegang jersi kuning sejak hari pertama saingan, Selasa lalu, dan Zawawi juga masih berjaya mempertahankan jersi merah raja bukit dengan 12 mata, hanya dipisahkan dua mata dengan rakan sepasukan, Wilma Jahir Perez Munoz, yang mengutip 10 mata.

"Fokus saya tetap kepada jersi kuning. Saya takut terlepas sesuatu yang lebih besar jika memikirkan tentang jersi merah dan biru.

"Jika ada rezeki untuk jersi yang lain, saya akan cuba," ujar Zawawi.