Tour de Selangor 2017 baru sahaja ditamatkan dan pihak penganjur bercadang untuk meningkatkan lagi wang ganjaran serta jarak perlumbaan bagi menarik lebih banyak penyertaan pasukan di masa akan datang.

Ketika ini, penganjur memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta untuk kos penganjuran dan RM85,000 daripada wang tersebut diagihkan sebagai wang kemenangan untuk semua pemenang, sekaligus berjaya menghimpunkan 146 pelumba yang terdiri daripada empat pasukan benua, tiga pasukan negara, lima pasukan kelab serta tiga pasukan negeri dalam edisi sulung.

Acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor itu tidak menolak bakal ditingkatkan lagi wang ganjaran untuk tahun depan bagi menarik lebih banyak pasukan, terutama dari luar negara dan perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Tour de Selangor 2017, Amiruddin Shaari.

"Itu harapan kami kerana banyak perkara yang perlu disemak dan dipertingkatkan. Saya percaya pasukan yang sedia ada juga boleh memikirkan aspek-aspek lain," katanya.

Mengenai jarak perlumbaan, pihak penganjur akan merangka laluan yang akan meliputi kesemua sembilan daerah dalam negeri Selangor dalam edisi akan datang.

Tour de Selangor 2017 telah dilangsungkan dalam lima peringkat, dengan laluan yang meliputi
jarak 558.4 kilometer dengan status 2.2 yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sekaligus tersenarai dalam kalendar Jelajah Asia, tahun ini.

"Sasaran kami untuk akan datang, kalau boleh, mahu meraih lebih banyak podium," ujar pelumba TSG, Zamri Salleh.

“Ini kali pertama kami sertai kejohanan ini dan kami berpuas hati dengan penganjurannya.

"Prestasi kami juga agak bagus selepas berjaya menaiki podium dan sudah pasti kami akan kembali lagi musim depan,” tambah pelumba Aisan Racing, Shiki Kuroeda.