Tonggak utama jadi sandaran skuad badminton para 

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 119
Tonggak utama jadi sandaran skuad badminton para 
Menjelang Kejohanan Badminton Dunia Para di Ulsan, bulan depan, skuad negara masih bersandarkan keupayaan tonggak utama untuk menjelmakan kejayaan seperti yang pernah dirakamkan ketika di England pada tahun 2015.

Dua tahun lalu di Stoke Mandville, kem Malaysia pulang dengan kejayaan membanggakan apabila tiga juara dunia berjaya dihasilkan dalam Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-10.

Ketika itu, Didin Taresoh mengungguli acara perseorangan lelaki SS6, Chieh Lik Hou (SU5) manakala gandingan Lik Hou dan Hairol Fozi Saaba berjaya memenangi kategori beregu lelaki SU5.

Bersandarkan prestasi dua tahun lalu serta kutipan empat pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Malaysia menyimpan keyakinan untuk mengulangi kejayaan sama di Ulsan

“Pada mulanya memang sukar untuk mengajar mereka tetapi kemahuan yang mereka tunjukkan sangat bagus.

“Setiap kali turun ke gelanggang, mereka cuba yang terbaik,” ujar jurulatih badminton para negara, Moe Chin Kiat.

Turut sama memasang impian adalah pemain perseorangan lelaki SL3, Huzairi Abdul Malek, yang akan melakukan penampilan ketiganya di pentas Kejohanan Dunia sejak 2013 di Dortmund, Jerman.

Pemenang perak Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 itu seringkali terkandas di peringkat suku akhir sejak dua edisi lalu, menyebabkannya bertekad untuk menebus badi itu.

“Pemain-pemain yang beraksi kali ini agak kuat dan jurulatih ada mengingatkan saya untuk lebih fokus kerana ia melibatkan kelayakan ke saingan Paralimpik,” katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen