Perubahan akan dilaksanakan jurulatih bola jaring negara, Choo Kon Lee, apabila bakal merombak hampir keseluruhan barisan pemain kebangsaan dan menggunakan pemain remaja bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara di Singapura, bulan depan.

Kon Lee dilantik bagi menggantikan khidmat pengendali dari Australia, Tracey Robinson, selepas kempen temasya KL2017.

Tugasan pertama Kon Lee adalah membimbing pasukan untuk menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara, namun dia menghadapi kekangan masa bagi mempersiapkan pasukan.

Tambahan pula, ketika ini, kebanyakkan pemain senior tidak dapat beraksi kerana komitmen dengan pelajaran.

"Setakat ini, saya akan memanggil pemain-pemain muda kerana kebanyakan tonggak Sukan SEA 2017 mempunyai komitmen masing-masing.

"Mungkin hanya tiga atau empat pemain Sukan SEA yang lalu akan disenaraikan dalam Kejohanan Piala Negara-Negara," katanya.

Tiada sasaran tertentu ditetapkan dalam kempen kali ini, sebaliknya Kon Lee menuntut barisan pemain negara yang dipilih supaya berusaha mempamerkan aksi terbaik untuk mengutip mata bagi memperbaiki ranking dunia.

Malaysia kini di tangga ke-20 dunia di belakang seteru jiran, Singapura.

"Kejohanan ini akan membantu negara mengutip mata untuk memperbaiki ranking dunia," ujarnya.