Presiden Kelab Ragbi Cobra, Tommy Pereira, berharap pengalaman pemainnya dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Cobra 10 Sebelah sejak 2007 dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menampilkan aksi lebih kompetitif bagi edisi tahun ini.

Kejohanan edisi ke-46 itu dijangka lebih sengit dengan menampilkan 16 pasukan -- tujuh daripadanya merupakan kelab tempatan dan bersaing di dalam satu divisyen sahaja.

Ia bagi memberikan peluang kepada pasukan tempatan untuk bersaing bersama kelab luar negara selain menimba pengalaman bersama kelab berstatus antarabangsa.

Pemain-pemain Kelab Cobra diletakkan harapan yang tinggi untuk menampilkan saingan yang sengit, di mana kebanyakan pemain merupakan pemain yang sama sejak tahun 2007.

"Setiap tahun, pasukan-pasukan yang datang lebih bersedia untuk bertanding.

"Ada antara pasukan menganggap perlawanan ini sesuatu yang biasa tetapi selepas tewas kepada pasukan lain, mereka kembali ke kejohanan ini dengan membawa pasukan yang lebih kuat.

"Saya percaya setiap tahun, peningkatan akan berterusan. Tiap-tiap tahun juga, kualiti pertandingan akan terus meningkat," ujar Tommy.

Salah seorang pemain Kelab Cobra, Mohd Amin Jamaluddin, menganggap kelebihan pasukannya adalah lokasi baru kejohanan di Padang Astaka, Petaling Jaya, yang sememangnya telah menjadi lokasi latihan harian mereka.

"Pertandingan satu divisyen adalah bagus tetapi bagi saya untuk pemain tempatan, petandingan ini akan membantu untuk meningkatkan lagi tahap mereka di dalam sukan ragbi.

"Petandingan ini akan memberikan peluang untuk mereka beraksi dengan pemain yang lebih bagus dan yang beraksi di luar negara.

"Kami sudah biasa dengan lokasi pertandingan, jadi kelebihan kepada kami kerana kami berlatih di situ dan bermain di padang tersebut," jelas Amin.