Taekwondo Malaysia (TM) bersikap realistik terhadap peluang untuk meraih pingat dalam Sukan Asia 2018, Ogos depan apabila hanya menyasarkan dua pingat gangsa.

TM hanya menyenaraikan tujuh atlet untuk saingan di Indonesia dan akan diketuai oleh Rozaimi Rozali dalam saingan kyorugi lelaki bagi kategori feather.

Rozaimi adalah sandaran utama bagi kategori kyorugi sementara harapan pingat untuk poomsae pula disandarkan kepada Yap Khim Wen bagi acara wanita.

Pengarah Tteknikal TM, R. Dhanaraj, berpendapat sasaran satu perak dan gangsa itu adalah sasaran yang realistik buat mereka.

"Ia realistik kerana kami tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana jika tidak berjaya, ia perlu dijelaskan. Jadi, dua gangsa menjadi sasaran kami," katanya.

Dhanaraj turut mengakui bahawa syarat penyertaan yang lebih ketat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke Sukan Asia kali ini turut memberi kesan kepada TM.

Namun, persatuan itu akur dengan ketetapan yang dilakukan MOM.

"Ia memberikan kesan kepada TM kerana jika tidak, kami boleh menambah jumlah atlet dalam kategori A.

"Dalam masa sama, kelebihan buat kami adalah Sukan Asia kali ini di Indonesia, jadi kos untuk membawa atlet tidak setinggi jika ia diadakan di lokasi yang lebih jauh."