Naib Presiden Taekwondo Malaysia (TM), K. M. Rajendran, percaya tiada percanggahan pendapat berlaku dalam pemilihan Azizul Annuar Adenan selaku presiden termuda yang sah dipilih menerusi mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu, minggu lalu.

Azizul, 27, menggalas tanggungjawab presiden bagi menggantikan Senator Datuk Seri S. A. Vigneswaran yang tidak mempertahankan kerusi nombor satu persatuan itu.

Rajendran, bagaimanapun, percaya terhadap kemampuan yang dimiliki Azizul.

Walaupun dalam usia yang muda, dia yakin presiden baru itu akan memastikan kesamaan pendapat tanpa sebarang unsur senioriti dalam persatuan itu.

Perkara utama yang akan dibangkitkan adalah untuk mengembalikan taekwondo ke dalam program sukan teras tahun depan.

"Dia mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikan persatuan negeri sebelum ini.

"Bagaimanapun, sebarang keputusan masih tertakluk kepada 13 ahli lembaga pengarah yang lain," katanya.

Setakat ini, TM masih belum menentukan sebarang pengambilan jurulatih dari luar negara yang akan mengemudi pasukan kebangsaan tahun depan.

"Sebelum ini, kami pernah mengambil jurulatih dari Korea Selatan (Jin Jun Beom) bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Namun, kami telah digugurkan daripada sukan teras dan kontraknya tidak dapat disambung.

"Banyak perkara yang perlu dikaji sebelum kami melakukan sebarang keputusan," tambahnya.