Taekwondo Malaysia (TM) kecewa dengan pengguguran sukan itu daripada senarai sukan teras selain tidak lagi dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tahun depan.

Timbalan Presiden TM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mengkui terkejut dengan keputusan berkenaan kerana badan induk itu tidak diberi peluang untuk memberi maklum balas.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semalam mengumumkan tiga jenis sukan -- taekwondo, angkat berat dan sepak takraw -- digugurkan daripada senarai Program Majlis Sukan Negara (MSN) atas beberapa faktor, antaranya prestasi atlet.

Keputusan itu dilakukan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.

“Keputusan ini telah memberikan impak kepada sukan taekwondo kerana ramai atlet yang telah membuat persiapan bagi menghadapi Sukma dan mereka adalah antara bakat-bakat yang boleh dicungkil untuk mewakili kejohanan di peringkat antarabangsa,” jelas Nazifuddin.

Sementara itu, Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj, beranggapan keputusan yang dilakukan Lembaga Pengurus MSN itu tidak tepat jika prestasi dan pencapaian atlet dijadikan kriteria utama.

Dhanaraj turut menjelaskan bahawa tindakan itu juga menjejaskan persiapan beberapa negeri yang akan bertanding dalam Sukma nanti kerana telah menghantar atlet mereka menjalani latihan di luar negara.

“Pihak MSN telah mengatakan bahawa prestasi taekwondo semakin merosot tetapi data yang kami peroleh sejak 2015 menjelaskan prestasi sukan ini meningkat,” katanya.

"Kami berharap boleh mendapat penjelasan mengenai perkara ini."