Kejohanan Tinju Antarabangsa di Johor bulan depan akan menjadi tumpuan peninju profesional negara, Farkhan Haron, bagi memburu satu lagi gelaran selepas meraih pencapaian terbaiknya di Pattaya, Thailand, Julai lalu.

Peninju berusia 31 tahun itu menjadi wakil Malaysia yang pertama menjuarai kategori cruiserweight dalam Kejohanan Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia dengan menewaskan peninju Indonesia, Alexander Bajawa, di Pattaya.

Dengan bercadang untuk menambah koleksi kejuaraannya yang ke-10, dia akan bertanding untuk merebut tiga gelaran yang dipertandingkan di Johor.

"Ia merupakan kali pertama saya bertemu dengan lawan ini.

"Dia merupakan juara di Afrika.

"Jadi, masing-masing memang nak menang kerana hanya ia caranya untuk kami memenangi tali pinggang peringkat antarabangsa dan meningkat ke tahap seterusnya untuk memenangi Kejohanan Dunia," katanya.

Farkhan akan menjalani latihan intensif di Uzbekistan bermula hujung bulan ini bagi mendapatkan rakan sepelatih dengan fizikal yang setara dengannya.

Meskipun mengakui berasa tertekan untuk mengekalkan kejuaraan, dia optimis untuk mempamerkan aksi terbaik dengan kondisi fizikal yang bebas daripada sebarang kecederaan.

"Di sini, kita kekurangan peninju yang bersaiz besar.

"Saya memelukan rakan sepelatih dan persediaan yang baik.

"Tiada benda yang mudah, jadi saya harap dapat melaluinya dengan baik," tambahnya.