Pemerhati sukan negara, Haresh Deol, menegaskan penerjun yang tidak setuju dengan pengendali baru menggantikan bekas ketua jurulatih, Zhang Yukun, patut meninggalkan skuad kebangsaan.

Penerjun perlu menerima apa jua keputusan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Setakat ini, belum ada calon yang diketengahkan sebagai pengganti Yukun yang sudah meninggalkan skuad kebangsaan.

Nama bekas pengendali negara, Yang Zhuliang, dikaitkan sebagai pengganti kerana beliau belum mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan sejak ditamatkan kontrak tahun lalu.

Namun, masalah Zhuliang adalah beberapa penerjun tidak gemar dengan corak latihannya yang dianggap terlalu keras.

"Kalau atlet berasa tidak serasi dengan jurulatih, penyelesaiannya mudah. Keluar daripada kem Majlis Sukan Negara (MSN) dan berlatih sendiri sebagai seorang profesional, bayar gaji sendiri. Anda mempunyai pilihan untuk memilih jurulatih anda," kata Haresh.

Perkembangan itu bukan sesuatu yang baik menjelang Kejohanan Dunia, Julai depan yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan teknik jurulatih baru, sekali gus menyukarkan misi memburu pingat emas Olimpik Tokyo.