Jurulatih lontar peluru para negara, Faizol Harun, pening kepala untuk menentukan sasaran emas dalam Sukan Para ASEAN Filipina, Mac depan apabila tuan rumah masih belum memberi kata putus mengenai kategori yang bakal dipertandingkan.

Ia bakal memberi kesukaran buat Faizol dalam meletakkan sasaran pungutan pingat buat skuad lontar peluru para.

Apatah lagi, dia juga melahirkan kekhuatiran kemungkinan akan ada beberapa kategori yang terpaksa digabungkan sehingga memaksa anak buahnya terpaksa beralih ke kategori lain.

"Saya bimbang dalam mesyuarat akan datang, kategori atlet diubah lagi.

"Kalau kategori digabungkan, ia boleh menjejaskan sasaran emas kami," katanya.

Dalam Sukan Para ASEAN 2017, sebanyak 13 kategori acara lontar peluru dipertandingkan dan Malaysia meraih lima emas.

Sandaran utama negara masih lagi tertumpu kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohd Ziyad Zolkefli.

"Kami sudah mengenal pasti sasaran berdasarkan Sukan Para ASEAN 2017.

"Kami juga memantau pencabar baru, jadi kami tidak dapat menetapkan sasaran tertentu lagi kerana belum tahu kategori yang akan diadakan pihak penganjur."


Editor: Shaiful Shamsudin