Timbalan presiden MABA menang tanpa bertanding jawatan presiden 

Oleh Bernama 19 Julai 2020 114
Timbalan presiden MABA menang tanpa bertanding jawatan presiden 
Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Tan Kang Yong, dipilih sebagai presiden baru persatuan itu bagi penggal 2020-2024.

Beliau yang merupakan timbalan presiden MABA sejak 2016, menang tanpa bertanding setelah penyandangnya, Datuk Lua Choon Hann, mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MABA yang diadakan di Wisma MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Datuk Ooi Khoon Yeong, pula dipilih sebagai timbalan presiden MABA yang baru menerusi undian yang diputuskan oleh perwakilan daripada 18 ahli gabungan MABA. 

Bercakap dalam sidang media, Tan berterima kasih kepada perwakilan negeri dan kelab yang memberi sokongan kepada beliau bagi menerajui MABA bagi tempoh empat tahun.

 

Congratulations to our new #MABA President - Datuk Wira Tan Kang Yong, JP and our new office bearers on being elected to...

Posted by Malaysia Basketball Association on Sunday, July 19, 2020


Kang Yong, yang merupakan presiden Persatuan Bola Keranjang Melaka, memaklumkan tugas utama kepimpinan baru MABA adalah untuk membantu meningkatkan kembali prestasi skuad bola keranjang kebangsaan yang mempamerkan aksi hambar dalam beberapa edisi Sukan SEA lepas.

"Fokus kami adalah membantu skuad wanita 3 lawan 3 dan 5 lawan 5 mendapatkan kembali pingat emas yang pernah diraih dalam Sukan SEA sebelum ini.

“Pencapaian skuad bola keranjang (lelaki) negara agak merosot sejak dua tahun ini, sebab itu saya dan kepimpinan baru MABA bertekad untuk meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa,” jelas Kang Yong.

Beliau memaklumkan keputusan berhubung penganjuran kejohanan tempatan pada tahun ini termasuk Piala Agong Edisi Ke-62 yang sebelum ini dijadual pada awal tahun, akan dibincangkan dengan kepimpinan MABA.

Saingan Piala Agong yang diadakan sejak 1958 terpaksa dibatalkan pada tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19.

 
Senarai penuh kepimpinan MABA penggal 2020-2024:

Presiden: Datuk Tan Kang Yong

Timbalan Presiden: Datuk Ooi Khoon Yeong

Naib Presiden: Datuk Lee Yuen Fong, Datuk Lee Cheng Chuan, Datuk Lim Chong Ly, Poh Thiam Kar, Phan Chee Yong, Leong Nyuk On, Datuk Bruce Lim Cheng Nyok, Andrew Heng

Setiausaha Agung: Tong See Koou

Timbalan Setiausaha Agung: Prof Dr Teng Tjoon Tow

 Pembantu Setiausaha: Datuk Ng Choon Koon

 Bendahari Kehormat: Datuk Seri Victor Chen Wee Tuck

 Timbalan Bendahari Kehormat: Ooi Siong Hwa

 

-- BERNAMA

 

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen