Status selaku juara kebangsaan dua tahun berturut-turut memberi keyakinan kepada pemain ping pong Kuala Lumpur, Muhd Ashraf Haiqal Rizal, untuk menempatkan diri dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun depan.

"Skuad negara masih belum memuktamadkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara dalam Sukan SEA nanti kerana mahu menilai prestasi dalam kejohanan kebangsaan ini.

"Kejayaan bergelar juara acara perseorangan, berpasukan dan naib juara dalam acara beregu lelaki memberi harapan kepada saya untuk terpilih mewakili negara,” katanya.

Muhd Ashraf mempamerkan persembahan cemerlang dengan mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki dalam Kejohanan Ping Pong Malaysia Ke-53 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, yang berakhir hari ini.

“Pencapaian kali ini membuktikan kem latihan di China berjaya meningkatkan mutu permainan saya.

“Persembahan yang ditunjukkan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu walaupun ramai pemain yang bagus memberi cabaran dalam kejohanan kebangsaan,” tambahnya.

Kuala Lumpur mengungguli acara berpasukan lelaki susulan kemenangan Muhd Ashraf ke atas pemain veteran negara, Muhd Shakirin Ibrahim, dalam perlawanan penentuan, untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Acara berpasukan wanita pula menyaksikan Johor mempertahankan kejuaraan selepas mengatasi Selangor, juga dengan keputusan 3-1.