Tiga wakil Sabah masing-masing muncul juara keseluruhan dalam Siri Perlumbaan Basikal Bukit Asia 2017 yang berlangsung di Bukit Siol, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Pelumba kebangsaan, Natahsya Soon, dinobat sebagai juara keseluruhan bagi kategori Individu Menuruni Bukit Elit Wanita, Jr. Stanly Jalip muncul juara keseluruhan Individu Menuruni Bukit Master Lelaki manakala Sharin Amir juara keseluruhan kategori Olimpik Merentas Desa Master Lelaki.

Kesemua mereka muncul juara keseluruhan selepas mengharungi lima siri perlumbaan di bawah kalender Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Natahsya selesa dengan 68 mata selepas kejayaan berdiri di atas podium dalam siri perlumbaan di Tambunan, Timor Leste, Jepun dan Kuching manakala Sharin mengumpul 60 mata menerusi perlumbaan di Tambunan, Timor Leste dan Kuching.

Sementara itu, Jr. Stanly turut berpuas hati selepas mengumpul 36 mata daripada perlumbaan di Tambunan dan Kuching.

Kejayaan merangkul gelaran berpestij itu pastinya sangat luar biasa kerana mereka mengharungi cabaran sengit daripada atlet-atlet profesional, termasuk dari Kazakhstan, Portugal, Afrika Selatan, Kanada, Australia, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina, Indonesia, India, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Timor Leste dan juga atlet-atlet kebangsaan lain.

Gelaran-gelaran juara keseluruhan yang lain turut dikalungkan kepada Kiril Kazantsev dari Kazakhstan (Olimpik Merentas Desa Elit Lelaki), Ariana Thea Patrice Dormitario dari Filipina (Olimpik Merentas Desa Elit Wanita), Koutarou Murukami dari Jepun (Olimpik Merentas Desa Remaja Lelaki) dan Yeh Yu Shuang dari Taiwan (Olimpik Merentas Desa Remaja Wanita).

Pada tahun depan, sembilan siri perlumbaan di bawah takwim UCI akan berlangsung, termasuk perlumbaan siri ketiga di Keningau pada bulan Julai dan siri perlumbaan terakhir di Tambunan, Sabah, pada Disember.

Siri-siri perlumbaan lain akan bermula Mac di Timberland, Filipina, Mei di Yawatahama, Jepun, September masing-masing di Dili, Timor Leste dan di Cikole, Indonesia, Oktober masing-masing di Yamaguchi, Jepun dan di Dumaguete, Filipina serta November di Siol, Sarawak.