Tiga persatuan sukan kebangsaan sedia menjawab surat tunjuk sebab kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas gagal mencapai sasaran pingat dalam Sukan SEA Ke-30.

MSN telah mengambil keputusan untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada 13 persatuan sukan kebangsaan bagi mencari punca kegagalan yang menyaksikan kontinjen negara meraih tangga kelima keseluruhan dengan 56 pingat emas.

Ahli Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Datuk Musa Omar, dan Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, merancang untuk mengadakan bedah siasat bersama MSN.

Skuad menembak negara, yang hanya meraih dua pingat perak dan empat gangsa, gagal mencapai sasaran satu pingat emas yang ditetapkan oleh MSN.

Skuad boling tenpin yang dilihat sebagai sandaran negara untuk menyumbang empat pingat emas, sebaliknya hanya meraih dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

"Kami sedia memberikan maklum balas kerana ia merupakan arahan daripada MSN. Dalam masa sama, kami sendiri juga akan mencari jalan untuk mengenal pasti faktor kegagalan atlet negara dalam Sukan SEA," kata Musa.

"Jawapan sedia diberikan kepada pihak MSN. Kami akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai pelan serta hala tuju skuad negara. Bagi saya, skuad boling tenpin negara di landasan terbaik," kata Maradona.

Sementara itu, Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISAM) telah melakukan bedah siasat Sukan SEA sebagai langkah persiapan untuk barisan atlet menghadapi Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk, Januari depan.

Presidennya, Irene Cheow, mengakui masih berpuas hati dengan pencapaian barisan atlet biarpun tidak mencapai empat pingat emas seperti yang telah ditetapkan MSN.

Skuad luncur ais negara meraih dua pingat emas melalui Julian Yee dan kuartet berpasukan wanita di Filipina.

"Buat masa ini, kami tidak lagi diberikan sebarang arahan, namun sentiasa bersedia dengan sebarang situasi. Kami mahu bekerjasama dengan MSN dan MOM sebagai satu keluarga. Ia merupakan cara terbaik untuk memperkembangkan lagi sukan luncur ais," kata Irene.