Kurang berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan, khususnya sepanjang tahun ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan tiga jenis sukan digugurkan daripada Program Majlis Sukan Negara (MSN).

Tiga sukan berkenaan ialah angkat berat, sepak takraw dan taekwondo.

Keputusan dibuat selepas Khairy mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Jelas Khairy, pengguguran sukan berkenaan berkuatkuasa pada 2018 dengan ia juga tidak akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perak yang dijadualkan pada September depan selain semua sukan lain akan dinilai dalam tempoh dua tahun.

Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan kedudukan atlet daripada sukan berkenaan yang berada dalam Program Podium tidak akan terjejas.

"Prestasi sukan angkat berat semakin menurun, atlet-atlet juga menghadapi masalah disiplin dengan tujuh kes doping yang disahkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sejak empat tahun yang lepas," kata Khairy.

"Sepak takraw tidak menunjukkan prestasi yang meningkat sejak tahun 2006 dan ranking dunia semakin tergugat dengan kehadiran negara-negara baru yang beraksi dalam sukan ini.

"Pencapaian sukan taekwondo tidak memuaskan, sukan ini gagal mempamerkan pencapaian yang positif," katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan MSN akan menubuhkan dua unit khas, masing-masing bagi menumpukan kepada sukan elektronik, e-sukan, serta penganjuran kejohanan kebangsaan untuk sukan skateboarding serta mendaki.

Ia bagi memberi peluang persediaan awal untuk membentuk satu skuad e-sukan yang dianggap mempunyai potensi memburu pingat dalam temasya Sukan Asia 2022.

Sukan skateboarding dan mendaki pula telah disenaraikan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dengan penubuhan unit ini, kami akan mengiktiraf e-sukan sebagai sukan dan kami akan memberikan sumbangan bagi meningkatkan lagi mutu atlet yang terlibat dalam arena ini."