Jurulatih skuad ragbi bawah 19 tahun negara, Fitri Aziz, menganggap bukan satu misi mustahil untuk membawa pasukannya muncul juara Kejohanan Ragbi Asia B-19 2016 biarpun berada pada ranking terakhir berbanding pencabar lain.

Skuad negara berdepan misi sukar bagi memastikan mereka tidak berada di kedudukan tercorot, yang boleh membuatkan Malaysia tersingkir ke saingan divisyen satu.

Namun, perkara itu tidak berada dalam minda Fitri yang sebaliknya mencabar pemainnya untuk memikirkan mengenai kejuaraan.

Juara kejohanan akan mendapat peluang beraksi dalam Kejohanan Ragbi Dunia B-19 2017 di Urugua, bersama satu lagi pasukan Asia, Jepun.

“Saya memang ada harapan untuk melangkah lebih jauh. Kami akan cuba untuk mengelak daripada tersingkir ke divisyen satu, kami akan mencuba sebaik mungkin untuk melayakkan diri ke Kejohanan Ragbi Asia B-19 tahun depan,” kata Fitri.

Sementara itu, ketua pasukan, Ras Ubaidah Razbi, sama sekali tidak gentar dengan persepsi ramai pihak yang meramalkan skuad ragbi negara bakal menjadi pasukan belasahan.

Sebaliknya, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif kerana mampu dijadikan sebagai motivasi terbaik buat rakan-rakannya untuk tampil lebih bersemangat.

“Kami akan membuat yang terbaik untuk membuktikan Malaysia mampu berdaya saing dalam sukan ini di pentas antarabangsa,” ujar Ras Ubaidah .

Kejohanan Ragbi Asia B-19 berlangsung di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia, Serdang, 11-17 Disember ini.