Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, mengesahkan penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak akan membina perkampungan sukan atau mewujudkan laluan khas untuk kenderaan temasya itu bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota.

Ketiadaan perkampungan sukan bermakna semua 7,000 ribu atlet akan menginap di hotel yang diiktiraf penganjur sama ada di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Terengganu atau Langkawi, Kedah.

Ia bagi mengurangkan kos membina perkampungan sukan yang boleh mencecah jutaan ringgit.

"Semua negara besar sering meletakkan atlet di serata tempat bagi mengelakkan atlet daripada menghadapi kesesakan lalu lintas.

"Pada mereka yang berada di Sukan Olimpik Rio sebelum ini, kita telah menghabiskan banyak masa di atas jalan raya dalam perjalanan menuju ke venue. Pada saya, kami mahu mengurangkan pembaziran masa seperti itu," jelasnya.

Pada kebiasaannya, penganjur sukan bertemasya seperti Olimpik, Asia atau Komanwel akan membina perkampungan sukan untuk menjamin keselamatan atlet atau memudahkan pergerakan ke venue pertandingan.

Keputusan tidak mewujudkan laluan khas pula dibuat selepas berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

Beberapa venue pertandingan masih dalam pembinaan atau dinaik taraf.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (MASOC) memberi jaminan semua akan disiapkan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum temasya bermula.

"Berdasarkan laporan kerja-kerja naik taraf di Kompleks Sukan Bukit Jalil, segala-galanya berjalan lebih awal daripada jadual ditetapkan. "Jadi, setakat ini tiada sebarang halangan termasuk juga di venue yang lain," jelas Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.

Turut menyatakan keyakinan sama, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa.

"Kita yakin dengan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah kerana ini bukan kali pertama Malaysia muncul selaku tuan rumah.

"Ia akan menjadi pengalaman terbaik, terutama buat petugas media yang membuat liputan," ujarnya.