Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menganggap Malaysia tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi pencapaian ketika Sukan Komanwel Glasgow 2014 dalam edisi Gold Coast, tahun depan.

Empat tahun lalu, kontinjen negara membawa pulang enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa untuk menduduki tangga ke-12 keseluruhan.

Namun, selepas melihat pencapaian dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu, ia membuktikan Malaysia kini di laluan terbaik bagi meneruskan momentum kejayaan di Gold Coast pada April depan.

Khairy, yang ditemui dalam majlis penerimaan delegasi Larian Baton Ratu Sukan Komanwel 2018 di Kementerian Belia dan Sukan, pagi tadi, melahirkan rasa bangga buat Malaysia menjadi negara ke-54 daripada 70 kontinjen yang terlibat dalam Jelajah Baton.

Selasa lalu, Larian Baton Ratu telah pun bermula dengan penuh meriah di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil dan disertai hampir 500 peserta termasuk atlet-atlet Malaysia.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya buat kontinjen negara yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang akan berlangsung pada April depan,” katanya.