Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan tiada keperluan untuk menggantikan jurulatih terjun, Huang Qiang, dalam masa terdekat.

Namun, demi kepentingan skuad pelapis dan semua pihak, hal itu akan diselesaikan.

Skuad terjun negara bakal mengharungi dua kejohanan besar, iaitu Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia, tahun depan.

Menghadapi dua temasya berkenaan, sukan terjun negara kehilangan seorang tenaga jurulatih, Huang Qiang, yang didakwa atas tuduhan merogol.

Bagi Khairy, tiada keperluan untuk melakukan keputusan terburu-buru memandangkan Huang Qiang adalah jurulatih pelapis dan bukannya tenaga jurulatih dalam skuad utama terjun negara.

"Buat masa ini, kami tidak ada keperluan tinggi untuk menggantikan Huang Qiang tetapi kami akan mencari seseorang yang lain.

"Sebab Huang Qiang tidak mengendalikan pasukan senior, dia hanya bermula tahun lalu untuk menjaga pasukan pelapis," katanya.

Bagaimanapun, Khairy menyatakan bahawa segala-galanya terserah kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat keputusan serta penilaian sebelum memilih pengganti.

"Ia tidak segeralah. Sudah pasti kami akan mencari jurulatih tetapi kami mahu pastikan jurulatih yang dipilih itu betul-betul ada kepakaran dan tidak akan menimbulkan masalah seperti mana jurulatih, Huang Qiang," ujarnya.