Penerjun wanita negara, Cheong Jun Hoong, kurang mengerti di sebalik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengenai wujud budaya persekitaran ketakutan dalam kalangan atlet terjun negara yang menjadi punca utama kontrak ketua jurulatih, Yang Zhuliang, tidak disambung.

Juara dunia 2017 itu menjelaskan jika benar wujud budaya ketakutan dalam kem terjun, ia tidak lebih seperti hubungan guru dan pelajar.

Baginya, dia yang berada bersama penerjun lain lebih mengerti apa yang sedang berlaku sambil enggan mengulas dengan lebih mendalam kenyataan Khairy.

Namun, daripada riak mukanya, jelas dia kurang bersetuju dengan kenyataan kononnya wujud budaya toksik yang sedang melanda pasukan terjun negara.

"Saya pun takut dengan jurulatih tetapi lebih kepada perasaan hormat.

"Bukanlah takut seperti (sesuatu yang buruk berlaku). Ia lebih kepada seperti gerun terhadap seorang cikgu.

"Itu yang saya rasakan kerana bagi orang lain, saya tidak berada dalam kedudukan mereka.

"Dia (Zhuliang) tidak pernah membuli seperti didakwa. Apa yang boleh saya katakan lagi?" kata Jun Hoong yang ditemui selepas menerima Anugerah Persahabatan dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 di Petaling Jaya, malam tadi.

Dalam masa sama, Jun Hoong mengakui dia akan mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat Zhuliang tidak lagi membimbingnya, bermula tahun depan.

"Saya pun masih berasa agak sakit hati kerana dia tidak dapat meneruskan jawatan itu.

"Saya memerlukan masa untuk menghadam segala (perkembangan ini).

"Kalau keputusan sudah muktamad, jadi saya perlu menerimanya," kata jaguh 10 meter platform individu itu lagi.

Khairy dalam satu kenyataan media semalam menyatakan Zhuliang membentuk persekitaran ketakutan yang mengundang kes rogol, buli dan gangguan seksual dalam kem terjun negara.