Atlet olahraga para, S. Thavaneswaran, mahu memberi tumpuan penuh terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu sebelum meneruskan kerjayanya untuk musim depan.

Atlet berasal dari Segamat, Johor itu diangkat sebagai atlet lelaki terbaik Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 selepas cemerlang meraih tiga pingat emas dan satu perak.

Ia sekali gus menyaksikan Thavaneswaran -- yang beraksi dalam kategori T44 -- menerima insentif berjumlah RM40,000.

"Saya akan tunggu selepas SPM. Terima kasih kepada ibu-bapa saya dan jurulatih saya di atas pencapaian ini. Bukan senang mahu mendapatkannya," katanya.

Sementara itu, atlet wanita terbaik temasya itu menjadi milik pelumba basikal trek, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais.

Nyata penampilan sulungnya dalam temasya itu tidak menghadirkan rasa gementar apabila dia memperoleh empat pingat emas dan satu perak.

"Terima kasih kepada pilot saya, (Noraidillina) Adilla (J. Sam) kerana membantu saya dan mengajar saya untuk mendapat empat emas dan satu perak.

"Saya akan membuat persiapan untuk acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di mana Malaysia selaku tuan rumah pada Februari tahun depan," kata Azlia.

Secara keseluruhan, Azlia membawa pulang insentif sebanyak RM50,000

Hadiah tertinggi atlet Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017:

Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais - RM53,000
Mohd Najib Turano - RM50,000
Zuhairie Ahmad Tarmizi - RM43,000
Muhamad Hairul Miran - RM41,000
S.Thavanesvaran - RM40,000