Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengesahkan Kejohanan Futsal AFF 2016 akan diadakan pada penghujung Januari 2017 selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Jawatankuasa AFF, 26 Oktober lalu.

Selepas melewati penolakan penganjuran daripada beberapa negara, Thailand merujuk semula kepada AFF untuk meneruskan hasrat selaku tuan rumah dengan syarat dilewatkan sehingga ke penghujung Januari.

Perkara itu mendapat persetujuan AFF dan keputusan tersebut disambut baik ahli gabunganmemandangkan sebahagian daripada mereka telah melakukan latihan pusat di negara masing-masing sebagai persediaan sebelum kejohanan.

"Setakat keputusan yang telah dibuat oleh AFF, kami menyambut baik tawaran Thailand dan kami bersetuju untuk menyerahkan kembali penganjuran Futsal AFF 2016, yang akan berlangsung pada awal 2017, kepada Thailand," jelas Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad.

Bagaimanapun, tarikh sebenar kejohanan akan diputuskan dalam masa terdekat, selewat-lewatnya minggu hadapan.

Sudah pasti perkembangan terbaru itu melegakan hati semua pihak dan kembalinya Thailand sebagai tuan rumah, di mana kualiti penganjuran mereka sememangnya diperakui di peringkat antarabangsa.

"Kami tidak mempersoalkan kebolehan Thailand untuk menganjurkan kejohanan kerana Thailand sering menjadi pilihan untuk menganjurkan Kejohanan Futsal AFF.

"Beberapa tahun yang lalu, mereka telah menganjurkan Kejohanan Dunia Futsal di Thailand, jadi kami tidak meragui kebolehan Thailand untuk menganjurkan kejohanan tersebut."