Atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor, tiada masalah untuk mengubah venue kem latihan ke Thailand pula selepas ini apabila China berdepan penggantungan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun ekoran kes doping.

IWF mengumumkan pada 30 September lalu bahawa sembilan negara, termasuk China, bakal digantung selama setahun ekoran kes doping apabila sampel air kencing atlet dalam Sukan Olimpik 2008 dan 2012 diuji semula.

Ini bermakna negara berkenaan tidak akan beraksi di pentas Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Malaysia yang sebelum ini biasa berlatih di China juga terpaksa membuat pertukaran venue kem latihan kerana Negara Gajah Putih berkenaan berada dalam perancangan.

"Paling lewat saya perlu ke Thailand adalah pada 20 Oktober ini kerana saya perlu menjalani latihan di sana sebulan sahaja.

"Keputusan perlu segera dibuat kerana saya akan ke AS pada 20 November pula.

"Pengurus dan jurulatih akan memainkan peranan untuk mempercepatkan proses ini," katanya.

Selepas menjuarai kejohanan kelayakan Sukan Komanwel di Gold Coast, September lalu, Hafifi kini tidak memaksa diri untuk melakukan latihan terlalu berat menjelang Kejohanan Dunia, sekaligus mengelak kecederaan serius daripada berulang.

"Beban angkatan saya dikekalkan buat masa ini kerana dibimbangi saya akan kembali tercedera.

"Saya akan mengumpul tenaga sepanjang berlatih di Malaysia dan hanya akan melakukan latihan maksimum ketika di luar.

"Di sini, saya akan tumpukan aspek teknik dan fizikal, nanti di luar barulah jurulatih akan memberikan kekuatan yang sebetulnya," katanya lagi.