Dua kali mensia-siakan peluang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021, atlet terjun negara, Chew Yi Wei, tidak rela lagi berputih mata menjelang Kejohanan Piala Dunia FINA Februari depan.

Wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, ada butiran bagaimana atlet terjun lelaki pertama negara itu berhasrat melakar sejarah ke temasya di Jepun berkenaan secara merit.

Kejohanan yang berlangsung 23 Februari depan di Tokyo itu merupakan tiket terakhir buatnya dalam memburu penampilan sulung dalam temasya berkenaan.

Sebelum ini, dia berpeluang untuk merebut slot itu lebih awal namun gagal menggunakan kesempatan tersebut menerusi Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

Bezanya kali ini, anak jati Klang, Selangor, itu mempunyai kelebihan daripada segi darjah kesukaran yang bakal dipertaruhkan dalam kejohanan tersebut.

"Terjunan generasi baru seperti 'quadruple flick' dan 'triple twist' merupakan darjah kesukaran paling tinggi, ia juga sebagai syarat untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan atlet terbaik.

"Saya pernah menggunakan teknik itu, ia bukan mudah dan mengambil tempoh yang lama untuk stabil," katanya.

Yi Wei, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut kiri, bersemangat untuk kembali memulakan latihan awal, apabila kluster Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dijangka dibuka Selasa ini.

"Saya sudah terlepas peluang awal jadi tahun depan perlu tonjolkan segala kemampuan.

"Saya perlu pergi dan buat sahaja."