Kejohanan Terjun Piala Dunia 2020 ditunda, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, selepas menerima notis.

Menurutnya, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) hari ini mengambil keputusan untuk menjadualkan semula tarikh kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung bulan depan ke Jun.

Bagi Mae Chen, prestasi dan momentum barisan atlet dalam menambah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi kebimbangan apabila tiada sesi latihan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Tambahnya, bekas juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong -- bebas daripada pandemik itu selepas menjalani ujian saringan kesihatan -- sudah pun pulang ke tanah air daripada kem latihan di China di samping jurulatih, Yang Zhuliang.

"Piala Dunia mungkin akan ditunda ke Jun dan tarikh sebenarnya akan disahkan kemudian.

"Saya secara peribadinya berasakan ia bukan satu kelebihan (untuk atlet bertanding) memandangkan mereka tidak dapat berlatih selama beberapa minggu.

"Malangnya pada waktu ini kita semua perlu memainkan peranan (isu Covid-19).

"Virus ini tidak mengenal mangsa, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, hari ini.

Dalam pada itu, Mae Chen turut meluahkan kerisauan apabila tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Jepun, tidak merancang untuk menunda temasya itu hingga memaksa proses kelayakan perlu diperbaharui.

"FINA perlu mencari satu formula untuk mengisi slot kelayakan. Adakah ia melalui benua atau ranking dunia.

"Sekiranya berdasarkan ranking dunia, ia tidak begitu adil memandangkan atlet menyasarkan kejohanan-kejohanan yang sepatutnya diadakan itu untuk layak."