Kelebihan berpihak kepada Malaysia dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017 yang berakhir kelmarin apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memperkenalkan peraturan baru.

FINA menetapkan peraturan baru yang digunakan buat kali pertama dalam kejohanan itu, di mana atlet tidak dibenarkan melompat dan menghayun tangan dua kali sebelum membuat terjunan.

Ia tidak memberi masalah kepada penerjun negara tetapi sebaliknya berlaku kepada skuad China apabila ada yang terpaksa menarik diri kerana masih belum serasi dengan peraturan tersebut.

Menurut Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan, skuad kendalian Yang Zhuliang tidak pernah mempraktikkan lompatan dua kali sebelum melakukan terjunan seperti yang diamalkan skuad China.

"Sebenarnya, dalam kejohanan ini, China menarik diri daripada beberapa acara berikutan peraturan baru yang ditetapkan oleh FINA.

"Mereka cuba menukarnya dua hari sebelum kejohanan tetapi mereka tidak boleh. Jadi, mereka tidak boleh menyesuaikan diri dengan peraturan baru dan menarik diri," katanya.

Ia dipersetujui oleh juara dunia dari China sendiri, Wang Han, apabila bergelut untuk membiasakan diri dengan peraturan itu, lebih-lebih lagi bagi acara papan anjal.

"Memang dari dahulu sudah tahu tentang peraturan itu tetapi jarang sekali kami lakukannya dalam latihan. Jadi, sekarang kami mesti tingkatkan latihan dan membiasakan diri," katanya.