Impian untuk menyaksikan penyatuan semula Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform terjun seirama dalam memburu impian pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2021 tidak kesampaian.

Jurulatih negara, Yang Zhuliang, menerusi laporan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hanya mahu Jun Hoong fokus dalam acara individu kerana yakin bekas juara dunia 2017 itu mampu meraih pingat di Jepun, musim panas tahun depan.

Gandingan Jun Hoong-Pandelela menggegar Sukan Olimpik Rio 2016 apabila meraih pingat perak 10m platform terjun seirama untuk diangkat sebagai pencapaian terbaik sejarah terjun negara dalam temasya itu.

Mereka bagaimanapun dipisahkan pada 2018 selepas Jun Hoong mengalami kecederaan lutut.





"Tidak (membimbing dalam acara seirama), ia sudah termaktub dalam kontrak saya untuk melatih Jun Hoong secara individu.

"Banyak perbezaan di antara acara 10m dan 3m seirama, tekniknya yang berbeza akan menuntut Jun Hoong mengubah pendekatannya.

"Sebelum ini dia menyertai banyak acara, kini situasi menjadi lebih mudah buatnya.

"Lebih mudah untuknya (meraih pingat) dengan memberi tumpuan kepada acara 10m platform individu," katanya hari ini.

Selepas tamat kem latihan program Road to Tokyo (RTT), banyak pihak yakin duo itu patut digandingkan semula bagi menghadapi temasya Tokyo 2021, sebaliknya ia ditepis Zhuliang.

Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan peluang penerjun senior, Leong Mun Yee, untuk kekal sebagai gandingan baru Pandelela di Jepun kelak.

"Kalau Jun Hoong memberi fokus kepada acara individu, maka slot acara seirama itu akan menyaksikan peluang buat Pandelela dan Mun Yee untuk bergandingan tetapi apa pun, ia terpulang kepada persekutuan (untuk menentukan kedudukan atlet)," kata Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen.