Final 3 meter papan anjal lelaki menyaksikan dua wakil negara gagal menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik sementara Pandelela Rinong terpaksa akur dengan kehebatan pencabar utama dari China untuk meraih pingat perak 10m meter platform dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pandelela yang merupakan wakil tunggal negara dalam aksi final, bermula baik dalam terjunan pertama dengan mengutip 66.00 mata untuk menghuni tangga kedua di belakang penerjun China, Zhang Jiaqi.

Selepas empat siri terjunan, Pandelela terpaksa berpuas hati dengan pungutan keseluruhan 332.40 mata manakala Zhang Jiaqi menepati ramalan untuk meraih emas dengan catatan tertinggi, 409.85 mata. Gangsa pula menjadi milik penerjun Korea Selatan, Kim Suji.

Jelas Pandelela, dia tidak terkejut dengan aksi atlet berusia 13 tahun itu kerana sedar dengan peningkatan yang dipamerkannya sebelum ini sambil menyifatkan Jiaqi merupakan atlet yang perlu diberi perhatian selepas ini kerana bakal memberi saingan sengit kepada barisan penerjun muda negara.

"Saya tidak berasa begitu sedih dengan perak kerana Jiaqi dianggap bintang masa depan.

"Banyak benda yang perlu saya belajar daripadanya," kata Pandelela.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki pula, Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang gagal menampilkan terjunan memberangsangkan.

Acara itu diungguli Woo Haram dari Korea Selatan, dengan Tze Liang yang mengutip 407.70 mata, di tangga kelima manakala Amsyar tercorot.