"Aksi yang begitu hambar." Demikian luahan juara dunia, Cheong Jun Hoong, terhadap
terjunannya meskipun dia meraih pingat emas bagi acara 10 meter platform seirama campuran
dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur, hari ini.


Jun Hoong dan Jellson Jabilin meraih emas pertama buat negara dalam saingan GP Kuala Lumpur
selepas mengumpul jumlah mata tertinggi, 310.20 mata, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Tidak gembira dengan teknik terjunannya kali ini, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu
tidak menolak kecederaan belakang yang dialami mempengaruhi aksinya.

"Buat masa ini, saya cuba melakukan terjunan terbaik. Ramai penerjun yang memiliki
masalah kecederaan yang sama dan saya cuba memastikan ia tidak mengganggu prestasi
saya," kata Jun Hoong.

Nur Dhabitah Sabri pula sekadar berpuas hati dengan gangsa bagi acara 3m papan anjal individu
berikutan kehebatan dua penerjun dari China, Wang Han dan Chen Yiwen, gagal ditandingi.

Berhubung isu doping yang melanda rakan sendiri, Wendy Ng Yan Yee, Dhabitah mengakui
kecewa jika emas temasya KL2017 yang dimenangi mereka dalam acara 3m papan anjal seirama
ditarik balik sambil mengharapkan rayuan berkenaan dapat dipertimbangkan.

"Saya bersama pasukan cuba memberikan sokongan untuk Yan Yee dalam perkara ini," kata
Dhabitah.

Sepanjang dua hari kejohanan, Korea Selatan mengungguli kedudukan dengan tiga emas, diikuti
China dan Malaysia, yang kekal dengan satu emas sumbangan Jun Hoong dan Jellson.