Gandingan penerjun Loh Zhia Yi dan Jasmine Lai Pui Yee menutup kempen Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA Kuala Lumpur dengan satu pingat gangsa sahaja setelah berhempas-pulas bagi saingan 3 meter papan anjal seirama wanita, hari ini.

Zhiayi dan Jasmine yang hanya digandingkan dalam tempoh kurang sebulan cuba untuk memberi tentangan kepada wakil China, Huang Xiaohui dan Wei Ying.

Namun, menuju ke tiga terjunan terakhir, prestasi kedua-dua penerjun itu semakin menurun dan kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya wakil Russia, Karina Shkliar dan Marina Shishkanova, untuk memintas atlet kebangsaan berkenaan.

Akhirnya, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas hanya mampu meraih catatan 255.72 mata.

"Sebenarnya, saya rasa boleh menang tetapi telah lakukan sedikit kesilapan. Sangat hampir dan saya fikir kami telah bazirkan peluang. Kami tidak boleh pamerkan aksi sama dalam Sukan SEA nanti," kata Zhiayi.

Secara keseluruhan, Zhiayi dan Jasmine telah mengutip satu emas dan satu gangsa, termasuk ketika beraksi dalam GP Australia awal bulan ini, tetapi ia bukan syarat untuk mereka terus dikekalkan menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

"Saya belum boleh katakan apa-apa kerana ada penerjun lain. Saya belum pernah berpasangan dengan mereka, jadi masih belum tahu. Setakat ini, semua berjalan dengan baik."