Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, mahu memanfaatkan aksi dalam saingan Terjun GP FINA di Kuala Lumpur bermula esok sebagai persiapan akhir sebelum ke Sukan SEA Filipina.

Biarpun sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam Kejohanan Terjun Dunia di Korea Selatan, Julai lalu, saingan GP kali ini tetap bermakna buatnya untuk memburu pingat dalam dua acara yang disertai.

Berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, Wendy bertekad untuk memberi tentangan hebat kepada pesaing dari 12 negara lain dalam saingan yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu akan membuat penampilan dalam dua acara, iaitu 3 meter individu papan anjal dan 3m papan anjal seirama campuran digandingkan dengan Syafiq Puteh.

"Ia satu lagi tahap untuk kami mempersiapkan diri sebelum Tokyo 2020. Ia merupakan kejohanan yang menampilkan banyak penyertaan dari negara luar, jadi ia bagus. Sasaran kami mahu ke final," katanya.

Dalam masa sama, dia turut mengakui latihan di bawah kendalian Li Rui di China selama 20 hari dapat membantunya memperbaiki kelemahan dan berharap lebih banyak pendedahan seperti itu diraih selepas ini tatkala dia baru tiba di tanah air semalam.

"Saya rasa kini semakin meningkat walaupun berdepan tempoh singkat untuk berlatih. Diharapkan lebih latihan dapat dilakukan."