Terengganu ungguli Karnival Silat Kebangsaan

Oleh Staff Writer 22 Disember 2019 120
Terengganu ungguli Karnival Silat Kebangsaan
Tuan rumah, Terengganu, muncul juara keseluruhan Karnival Silat Kebangsaan yang menutup tirainya di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus semalam.

Skuad kendalian Mohd Alif Mohamad itu unggul memungut 20 pingat emas, 11 perak dan 23 gangsa untuk merangkul Piala Menteri Besar.

Kejayaan mendominasi kategori praremaja dengan pungutan lapan pingat emas, satu perak dan dua gangsa selain lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa bagi kategori institusi pengajian tinggi (IPT) turut membantu kejuaraan Terengganu itu.

"Beberapa pesilat muda dikenal pasti untuk memperkuatkan dan membarisi pasukan Sukan Malaysia (Sukma) serta skuad pelapis negeri," katanya.

Sementara itu, kategori tumpuan, Sukma, pula dimenangi kontinjen Pahang yang mengumpul lima pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, sekali gus mengetepikan cabaran tuan rumah.

Seramai 1,375 pesilat mengambil bahagian dalam kejohanan sejak Rabu lalu itu dalam enam kategori iaitu pradini, dini, praremaja, remaja, IPT dan Sukma.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen